Penunggang dan pembonceng motosikal adalah golongan yang paling berisiko mendapat kecederaan kepala. Kumpulan lain yang berisiko tinggi ialah pengguna jalan raya, pekerja-pekerja binaan, ahli sukan tempur dan aktiviti lasak.

00007742Menurut erunding Neuro dan Pembedahan Pediatrik, Pusat Pakar Perubatan Universiti Malaya (UMSC) Dr. Nor Faizal Ahmad Bahuri, kecederaan dan trauma berlaku apabila kepala mengalami sebarang jenis hentakan.

Katanya, kekuatan hentakan yang sama boleh memberi kesan yang berbeza kepada pesakit bergantung kepada faktor umur dan perlindungan kepala yang digunakan ketika itu.

Hentakan juga boleh dikategorikan sebagai hentakan yang kuat secara langsung dan secara tidak langsung.

Katanya, kebanyakan kecederaan di kepala adalah ringan, tetapi sekiranya berlaku kecederaan yang teruk sehingga mengakibatkan pendarahan dalam otak, ia boleh mengakibatkan bengkak pada tisu otak, kerosakan otak yang teruk, kerosakan saraf yang kekal dan kematian.

Jelasnya, faktor-faktor kecederaan boleh dikelaskan kepada umur, objek hentakan, pelindungan kepala dan keselamatan persekitaran.

“Sekiranya dilihat mengikut umur, apabila berlaku hentakan terhadap bayi, hentakan yang kecil boleh memberi kesan yang besar memandangkan bayi mempunyai tengkorak yang masih nipis. Sekiranya hentakan itu menggunakan objek yang tajam, ia bakal mendatangkan kecederaan kepada tengkorak dan otak yang lebih serius berbanding objek yang tumpul.

“Kepala yang menggunakan pelindung boleh mengurangkan sedikit sebanyak kecederaan, sebagai contoh penggunaan topi keledar bagi pekerja industri dan penunggang motosikal.

“Namun, hentakan kuat yang berlaku terhadap mereka yang tidak menggunakan sebarang ‘alas’ kepala boleh menyebabkan kecederaan dan gegaran kepada kepala, apatah lagi sekiranya seorang anak kecil melintas jalan dan berlaku kemalangan, kecederaan yang dialami anak kecil ini pasti lebih lagi,” katanya.

Oleh itu, Dr. Nor Faizal mengingatkan, keselamatan persekitaran adalah penting terutama bagi yang memerlukan penjagaan dan pemerhatian serius, seperti anak kecil yang boleh jatuh dari tangga atau katil sekiranya tidak dikawal oleh ibu bapa dan penjaga dengan baik.

Katanya, kecederaan di bahagian kepala adalah serius terutama apabila melibatkan fungsi utama otak yang mengawal tahap kesedaran diri.

Sekiranya tahap kesedaran ini terganggu, pesakit mungkin akan hilang ingatan sementara atau kurang memberi tindak balas kepada penyelamat.

Kecederaan serius di bahagian kepala boleh melibatkan pendarahan yang boleh dilihat keluar dari pada rongga hidung, telinga ataupun kulit kepala.

“Kecederaan di kepala boleh dikelaskan kepada beberapa jenis bergantung kepada kesan hentakan dan kecederaan otak yang dialami pesakit, termasuk jenis hentakan sama ada tajam atau tumpul, juga pendarahan otak sama ada berlaku di luar atau di dalam selaput otak atau pendarahan di dalam otak.

“Mereka yang merupakan insan terhampir di tempat kemalangan dan menjadi penyelamat perlu mengambil segera beberapa langkah sekiranya melihat ada individu yang berlaku kemalangan melibatkan kecederaan atau trauma di bahagian kepala.

“Mereka perlu memastikan pesakit dibawa ke pusat rawatan atau hospital terdekat dan segera diperiksa oleh doktor. Angkat mangsa dengan cermat bagi mengelakkan kecederaan lebih teruk.

“Kecederaan kepala yang serius memerlukan imbasan otak dan rawatan yang pantas untuk mengurangkan tekanan dalam otak,” jelasnya yang memberitahu pesakit yang mengalami kecederaan otak sederhana atau ringan perlu diawasi oleh pengamal perubatan dalam tempoh 24 jam.

Bagi membendung atau mengelakkan kecederaan di kepala, beberapa langkah perlu dilakukan antaranya pekerja dan majikan perlu memahami skop pekerjaan yang mempunyai risiko kecederaan kepala dan memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat.

Pekerja juga katanya, perlu mengamalkan pemakaian selamat seperti topi keselamatan, manakala penunggang basikal dan motosikal perlu memastikan topi keledar yang mereka gunakan adalah sesuai dengan kepala mereka dan dipasang dengan betul.

“Ibu bapa dan penjaga perlu memastikan persekitaran rumah yang sesuai dan selamat untuk anak-anak mereka. Tangga di dalam rumah perlu dipagar untuk mengelakkan kanak-kanak kecil ini jatuh.

“Bayi yang masih kecil perlukan perhatian untuk mengelakkan mereka terjatuh dari katil, buaian, meja makan, walkerdan sebagainya,” katanya.